Pasukan Pengakap Kelana SMK Shahbandaraya telah menyertai kem virgil Pengakap Kelana yang bertempat di Kem Temasya Rimba, Rawang selama 3 hari 2 malam pada 8 Mac 2013 hingga 10 Mac 2013. Kem ini turut disertai pasukan Pengakap Kelana dari SMAT Hishamudin dan SMK Tinggi, Klang.
Hari Pertama (8 Mac 2013)
Pada pukul 4:30 hingga 6:30 petang peserta bakal kelana mendaftar dan diarahkan untuk mendirikan khemah mengikut kumpulan. Selepas itu, peserta diberi taklimat oleh kem komanden dan istiadat pembukaan perkhemahan dijalankan oleh pesuruhjaya daerah Klang. Selepas itu, peserta diberi arahan untuk memasak dan menguruskan kumpulan masing-masing. Pada pukul 7:30 hingga 9:00 malam pula, selepas menunaikan solat Maghrib dan Isyak, peserta dibenarkan untuk makan malam. Seterusnya, pada pukul 9:00 hingga 11:00 malam, pihak penganjur telah menjemput pemimpin kelana Selangor iaitu Encik Khairul, Encik Haziq dan Encik Hafiz untuk memberi taklimat berkaitan lencana keahlian dan intipati buku log. Dalam taklimat tersebut, Encik Khairul telah mengajar peserta sebuah lagu yang bertajuk Kelana Rimba.
Hari Kedua (9 Mac 2013)
Aktiviti untuk melaksanakan lencana kemahiran Kelana dijalankan. Pada pukul 8:00 pagi hingga 12:00 tengah hari, peserta telah dibahagikan kepada empat krew dan diarahkan untuk ke
'checkpoint' tertentu. Terdapat empat
'checkpoint' iaitu
'checkpoint' kawad, orientering, ikatan dan penganggaran. Di
'checkpoint' kawad, peserta diajar asas kawad seperti meluruskan barisan, bergerak ke kiri dan kanan serta menghadap belakang dan hadapan di dalam barisan. Di bahagian, orientering pula, peserta diajar tentang jenis-jenis kompas dan cara menggunakannya. Seterusnya, peserta diberi bearing lokasi dan diarahkan untuk melukis pelan dan memberi bearing lokasi terakhir. Di bahagian ikatan, peserta diajar cara membuat ikatan buku sila, bunga geti, manuk, tindih kasih, lilit dua simpul, pemati biasa, seraya dan serong. Akhir sekali, di 'checkpoint' pengganggaran, peserta diberi pendedahan tentang pengganggaran ketinggian pokok, kelajuan arus sungai dan lebar sungai.
Pada pukul 2:45 hingga 6:00 petang, setiap krew diberikan satu tugas untuk membuat projek membina jambatan, menara atau pondok. Manakala, pada pukul 9:00 malam hingga 11:00 malam, peserta diberi taklimat berkaitan kelana dan skim lencana oleh pesuruhjaya negeri. Seterusnya, istiadat virgil diadakan di mana bakal kelana diakehendaki menjawab soalan yang diberikan pada pukul 11:00 malam hingga 1:00 pagi. Pada pukul 1:00 hingga 2:00 pagi pula acara kemuncak iaitu istiadat pemakaian epolet kelana dijalankan sebagai tanda peserta sudah menjadi Pengakap Kelana secara rasmi
Hari Ketiga (10 Mac 2013)
Pada pukul 7:30 pagi hingga 2:00 petang, setiap krew dibahagikan tugas untuk menjalankan khidmat masyarakat membersihkan kawasan perkhemahan. Seterusnya, majlis penutup dilaksanakan oleh pesuruhjaya pengakap daerah iaitu Puan Sidah. Akhir sekali, bendera diturunkan tanda aktiviti tamat.